Tafsiran perlembagaan syarikat-

“perlembagaan” ertinya suatu dokumen yang disebut dalam seksyen 34:

Perlembagaan Syarikat – Seksyen 31

(1) Sesuatu syarikat, selain syarikat berhad menurut jaminan, boleh atau tidak perlu mempunyai perlembagaan.
(2) Jika suatu syarikat mempunyai suatu perlembagaan, syarikat itu, setiap pengarah dan setiap anggota syarikat hendaklah mempunyai hak, kuasa, kewajipan dan obligasi yang dinyatakan dalam Akta ini, kecuali setakat yang hak, kuasa, kewajipan dan obligasi itu dibenarkan untuk diubah suai mengikut akta ini, dan diubah suai sedemikian oleh perlembagaan syarikat itu.
(3) Jika suatu syarikat tidak mempunyai perlembagaan, syarikat itu, setiap pengarah dan setiap anggota syarikat hendaklah mempunyai hak, kuasa, kewajipan dan obligasi sebagaimana yang dinyatakan didalam Akta ini.

Syarikat boleh menerima perlembagaan – Seksyen 32

(1) Sesuatu syarikat boleh menerima pakai perlembagaan bagi syarikat dan pereimapakaian melalui ketetapan khas.
(2) Perlembagaan syarikat tidak mempunyai kesan setakat yang perlembagaan itu berlanggaran atau tidak selaras dengan peruntukan Akta ini.
(3) Tertakluk kepada peruntukan Akta ini, perlembagaan yang diterima pakai di bawah subseksyen (1) hendaklah mengikut syarikat itu, pengarahnya dan anggotanya.
(4) Syarikat hendaklah menyerah simpan perlembagaan dengan Pendaftar dalam masa tiga puluh hari dari penerimapakaian perlembagaan di bawah subseksyen (1).
(5) Syarikat dan tiap-tiap pegawai yang melanggar subseksyen 94) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit dan, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi lima ratus ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Kesan perlembagaan syarikat– Seksyen 33

(1) Perlembagaan hendaklah, apabila diterima pakai, mengikut syarikat dan anggota pada takat yang sama seolah-olah perlembagaan itu telah ditandatangani dan dimeterai oleh setiap anggota dan mengandungi waad pada bahagian setiap anggota untuk mematuhi semua peruntukan perlembagaan itu.
(2) Semua wang yang kena dibayar oleh mana-mana anggota kepada syarikat di bawah perlembagaan hendaklah menjadi hutang yang kena dibayar oleh anggota itu kepada syarikat.

Bentuk perlembagaan syarikat– Seksyen 34

Perlembagaan suatu syarikat –
(a) dalam hal suatu syarikat berhad menurut syer yang diperbadankan dibawah Akta ini, ialah suatu dokumen yang diterima pakai sebagai perlembagaannya dibawah seksyen 32:
(b) dalam hal suatu syarikat berhad menurut jaminan diperbadankan di bawah Akta ini, ialah suatu dokumen yang diserah simpan bagi pendaftaran syarikat di bawah seksyen 38; atau
(c) dalam hal suatu syarikat yang didaftarkan di bawah undang-undang bertulis terdahulu yang bersamaan, ialah memorandum dan perkara persatuan sebagaimana yang didaftarkan pada asalnya atau sebagaimana yang diubah mengikut undang-undang bertulis terdahulu yang bersamaan.
dan termasuk apa-apa perubahan atau pindaan yang dibuat di bawah seksyen 36 atau 37, jika ada, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Kandungan perlembagaan syarikat – Seksyen 35

(1) Tertakluk kepada peruntukan Akta ini, perlembagaan suatu syarikat boleh mengandungi peruntukan yang berhubungan berkenaan-
(a) Tujuan syarikat;
(b) Keupayaan, hak, kuasa atau keistimewaan syarikat jika peruntukan itu menyekat keupayaan, hak, kuasa atau keistimewaan sedemikian.
(c) Perkara-perkara yang dipertimbangkan oleh Akta ini untuk dimasukkan ke dalam perlembagaan; dan
(d) Apa-apa perkara yang hendak dimasukkan oleh syarikat ke dalam perlembagaannya.
(2) Bagi maksud perenggan (1)(a), jika perlembagaan menyatakan tujuan sesuatu syarikat-
(a) Syarikat itu hendaklah disekat daripada menjalankan apa-apa perniagaan atau aktiviti yang tidak terdapat dalam tujuannya dan;
(b) Syarikat hendaklah mempunyai keupayaan dan kuasa sepenuhnya untuk mencapai tujuan itu, melainkan jika perlembagaan memperuntukkan selainnya.

Syarikat boleh mengubah atau meminda perlembagaan – Seksyen 36

(1) Sesuatu syarikat yang mempunyai perlembagaan boleh, melalui suatu ketetapan khas, mengubah atau meminda perlembagaannya melainkan jika perlembagaan itu sendiri melarang pengubahan atau pindaan itu.
(2) Pada tarikh ketetapan khas diluluskan atau suatu tarikh kemudian yang dinyatakan dalam ketetapan itu, apa-apa pengubahan atau pindaan kepada perlembagaan hendaklah mengikut syarikat dan anggota sewajarnya.
(3) Syarikat hendaklah memberitahu Pendaftar tentang pengubahan atau pindaan perlembagaannya dan menyerah simpan suatu salinan perlembagaan sebagaimana yang diubah atau dipinda itu dalam masa tiga puluh hari dari tarikh ketetapan khas itu diluluskan.
(4) Syarikat dan tiap-tiap pegawai yang melanggar subseksyen (3) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit dan, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi lima ratus ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Mahkamah boleh mengubah atau meminda perlembagaan – Seksyen 37

(1) Mahkamah boleh, atas permohonan pengarah atau anggota sesuatu syarikat, jika Mahkamah berpuas hati bahawa tidak boleh dilaksanakan untuk mengubah atau meminda perlembagaan syarikat dengan menggunakan tatacara yang dinyatakan dalam Akta ini atau dalam perlembagaan itu sendiri, membuat suatu perintah untuk mengubah dan meminda perlembagaan syarikat mengikut apa-apa terma dan syarikat yang difikirkannya patut.
(2) Syarikat hendaklah memastikat bahawa suatu salinan pejabat bagi perintah yang dibuat di bawah subseksyen (1) bersama dengan suatu salinan perlembagaan sebagaimana yang diubah atau dipinda iyu diserah simpan dengan Pendaftar dalam masa tiga puluh hari dari tarikah perintah itu.
(3) Syarikat dan tiap-tiap pegawai yang melanggar subseksyen (2) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi lima ratus ringgit bagi setiap kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

top